Monday, January 4, 2010

CUBAAN KETEPIKAN ISLAM SEBAGAI AGAMA PERSEKUTUAN

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi membenarkan pendakwah Kristian di negara ini menggunakan perkataan Allah sebagai terjemahan daripada God dalam risalah dakwah berbahasa Melayu mereka sangat menyedihkan, dan pada hemat saya mengetepikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Lebih menyedihkan ada pemimpin Melayu yang baru merasa tampuk kuasa sudah tidak segan silu menyokong tuntutan Gereja Katolik ini. Anehnya dua orang yang begitu ghairah menyokong tuntutan ini ialah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkifley Ahmad. Kedua-duanya dari Parti Islam se-Malaysia (Pas).

Bagi saya kedua-dua ahli Parlimen Pas ini bukan sahaja tidak memahami konsep ketuhanan dalam Islam dan Kristian hari ini tetapi juga menjadi pengkhianat kepada dakwah Islam di negara ini.

Kedua-dua mereka dan sebahagian kecil penyokong mereka telah dikelirukan dengan konsep bahasa Arab antara perkataan illah dengan Allah. “La illah ha illahllah”, yakni tiada Tuhan melainkan Allah.

Ada juga yang menghantar komen ke dalam blog saya kononnya orang Kristian boleh menggunakan perkataan Allah berdasarkan surah Al-Ankabut (63); “Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang yang berlaku zalim antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu dan kepada-Nya, kami patuh dengan berserah diri”.

Adakah orang Islam di negara ini menerima kitab Bible hari ini seperti Injil zaman Rasulullah SAW dan ajaran kristian hari ini yang menyatakan Isa anak Tuhan dan konsep triniti sebagai daripada Allah SWT?

Apakah Khalid Samad dan Dr. Dzulkifley ‘beriman’ kepada Bible yang dibawa oleh Gereja Khatolik hari ini? Ini perlu dijawab oleh kedua-dua mereka. Jika mereka bersetuju dengan pandangan ini maka banyaklah yang perlu kita ubah dalam sistem perundangan Islam termasuk membenarkan ahli kitab Bible berkahwin dengan orang Islam tanpa perlu menukar agama mereka.

Memang benar, kata nama Allah pernah dicetak dalam Bible di Nusantara ratusan tahun lalu. Tetapi apakah ia dicetak dengan keizinan kerajaan Melayu Islam? Tidak. Sebaliknya ia dibuat ketika kepulauan Melayu dijajah oleh Portugis, Belanda dan Inggeris. Mereka mengganti perkataan God dengan Allah bagi menyebar ajaran Kristian di kalangan orang Melayu.

Kita juga tertanya-tanya apakah agenda Gereja Katolik begitu bersungguh-sungguh mahu menggunakan nama Allah dalam ajaran Kristian mereka di negara ini sedangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad, pada 1986 telah melarang penggunaan perkataan Allah, Kaabah, Solat dan Baitullah oleh agama lain.

Bukankah aneh mereka begitu bersungguh-sungguh mencabar keputusan kerajaan ini hanya untuk menggunakan perkataan Allah yang tidak pun mereka guna dalam Bible di Amerika Syarikat mahupun di Eropah?

Jika selama ini mereka boleh sahaja menggantikan God kepada Tuhan mengapa sekarang mahu diubah? Bukankah ini tidak lebih daripada usaha mencabar kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan larangan berdakwah ajaran lain kepada orang Melayu?

Mereka mendakwa Allah merupakan terjemahan God dalam bahasa Arab. Jadi kita bertambah musykil mengapa pula mereka mahu menulis Allah dalam risalah Kristian berbahasa Melayu? Jika mereka mahu mencabar penggantian God kepada Allah dalam risalah bahasa Arab mungkin ada justifikasinya walaupun belum tentu kita bersetuju.

Sebaliknya dalam bahasa dan budaya Melayu, Allah membawa makna Tuhan yang Maha Esa untuk orang Islam. Tidak timbul isu Allah datang daripada bahasa mana. Yang penting dalam konsep budaya dan bahasa di Malaysia, perkataan Allah membawa makna Tuhan yang satu kepada orang Islam.


ADUN Sungai Panjang

UTUSAN MALAYSIA-FORUM 4 JAN 2010

No comments:

Post a Comment